Monday, June 6, 2011

PENGANUGERAH NIKMAT

PENGANUGERAH NIKMAT


Nabi sallallah ‘alaihi wassallam telah bersabda:


“Allah swt telah berfirman, “Aku sesuai persangkaan hambaKu terhadapKu, Aku selalu bersamanya selama ia mengingati Ku. Jika ia mengingatKu dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diriku, Jika ia mengingatiKu dalam keramaian. Aku mengingatinya didalam keramaian yang lebih baik darinya. Apabila dia mendekatiKu dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekatiKu sehasta, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepadaKu dalam keadaan berjalan seperti biasa nescaya Aku akan datang kepadanya dalam keadaan berlari-lari”
(Diriwayatkan oleh Albukhari dan Muslim dan Imam Ahmad)

Bismillah


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dengan nikmatnya, dengan hidayahnya, dengan hikmahnya, dengan inayahnya, dengan maghfirahnya, dengan kekuasaannya, dapat lagi bernafas di muka bumi yang ditadbirNya. Semuanya didahului nikmatNya yang tidak terhingga. Alhamdullah. Syukur.


Ya, jika hamba itu dekat dengan Maha Penciptanya sudah tentu merasai dekatnya hamba itu dengan Allah. Dekat dan semakin dekat. Maka sebaliknya jika jauh dari Maha Penciptanya maka jauh dan semakin jauh.


Mengingati Pemberi Nikmat. Allah yang memberi jaminan yang berupa kenikmatan yang terkadang tidak boleh dilihat, dirasai walaupun didepan mata, hadirnya dirasai dengan rasa kecukupan Allah sentiasa di hati. Kenikmatan yang Allah janjikan kepada orang-orang mukmin laki-laki dan perempuan akan mendapat syurga yang mengalir dibawahnya sungai-sungai, mereka kekal didalamnya dan mendapat tempat yang baik di syurga ‘And. Dan keredhaan Allah yang lebih besar itulah kemenangan yang agung.At-Taubah:72.


Bercerita tentang nikmat Allah, tidak akan pernah berakhir sehingga ke alam yang pasti. Alam akhirat. Masakan lebih lagi terasa nikmatnya di syurga yang penuh kenikmatan bagi mereka yang di dunia mensyukurinya dan meyakini janji Allah yang dibalas nikmat yang tidak terhingga yang berpanjangan.


Betapa sayangnya Yang Maha Pengasih sehinggakan kadang-kadang kita terlupa musibah itu juga nikmat. Jalan untuk menyedarkan diri, untuk memberi peringatan pada diri, untuk menginsafi diri, memotivasi diri dari yang alpa mengingatinya. Allah menegur hambanya melalui musibah kerana kasih. Kesusahan dan kepayahan itu didalamnya disediakan pahala yang berganda-ganda, kerana dalam kepayahan itu lebih menghargai kesenangan. Perlu mendidik kepayahan menjadi sabar. Agar yang susah itu menjadi nikmat walaupun tidak secara zahirnya, diakhirat adalah pasti! Apatah lagi nikmat kesenangan yang jauh lebih hebat nikmatnya jika diserahkan di jalan yang diredhai dan pula lebih hebat ujiannya andai kesenangan itu membuatkan lupa akan nikmatnya.

Sesungguhnya syaitan akan mendatangi seseorang hamba dan mengelakkannya dari memikirkan nikmat Allah swt, sampaikan dia tidak tahu bahawa nikmat yang dia terima adalah merupakan hasil dari doa yang dia telah pohonkan.


Setiap kali orang yang selalu berdoa dan melakukan terus-menerus maka setiap kali itu juga syaitan datang dan membuat orang tersebut lupa dan lalai. Kerana motif syaitan untuk dua perkara:


1) Syaitan membuat anda enggan untuk berdoa itu kerana anda tidak merasai apa-apa setelah berdoa dan syaitan membisikkan didalam hati anda prasangka bahawa doa yang diminta tidak dikabulkan oleh Allah swt


2) Syaitan membuat anda tidak merasai dekat dengan Allah swt. Kerana ketika doa dikabulkan Allah swt maka hati manusia akan merasai ketenteraman dan kesenangan yang luar biasa sehingga ia merasa lebih dekat dengan Allah swt.


Kerana dua alasan ini membuatkan kita menjadi lupa akan nikmat Allah swt.


Dalam surah As Sajadah : 17 bermaksud “Tidak seorangpun mengetahui berbagai nikmat yang menanti, yang indah dipandang sebagai balasan bagi mereka atas apa yang mereka kerjakan”

Allah tidak menyatakan yang mereka ketahui tetapi apa yang mereka kerjakan. ‘What you give you get back’


Kalimat Alhamdulillah itu belum mencukupi rasa syukur dengan penganugerahan nikmat yang tidak terhingga.



Jadikan hambamu ini seorang yang bersyukur. Yang memandang hamba yang jauh lebih susah dibandingkan kesenangan yang ada. Yang memandang hamba yang sabar menanggung derita kesakitan berbanding nikmat kesihatan yang masih ada.




Allahhumma inni ‘ala zikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik



Ya Allah bantulah aku supaya selalu dapat menyebut namamu, MensyukuriMu, dan memperbaiki ibada kepadaMu..


ALHAMDULILLAH WA SYUKRULILLAH..
……………………………………………………………………………………………………………………………………………

Ujian Tuhan kepada semua insan

Adalah kehidupan ini

Yang baik menjadi tuntutan

Yang buruk dijauhkan


Syurga yang dijanjikan

Bukanlah suatu khayalan

Tentang nikmat berpanjangan Ilahi


Neraka yang tercipta

Menghimpun azab derita

Tangisan kesengsaraan insan


Syurga adalah kelazatan

Terbentang buat hamba beriman

Yang kasihkan Tuhannya

Yang kasihkan Rasulnya

Yang kasih agamanya


Neraka tempat kedukaan

Antara kedurjanaan insan

Yang lupakan Tuhannya

Yang lupakan Rasulnya

Yang lupa agamanya


Siapakah yang lebih mulia

Dari mereka yang tidak lupa

Janji Allah adalah kepastian

Dan nikmat syurga adalah indah


Lagu: Kepastian Munsyid: Inteam


Sunday, April 17, 2011

BERAMAL DENGAN SELAWAT TAFRIJJIYAH

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. InsyaAllah jika beramal dengan selawat ini dapat menghilangkan segala dukacita dan kesempitan, menjadikan kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan syaitan dan hasad dengki. Mengamalkan selawat Tafrijiyah dengan membacanya selepas solat fardhu sebanyak yang ia mampu.


"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".


Fadhilat yang diberitahu para ulama:


1. Menurut Imam Ad-Dainuri, barangsiapa membaca selawat ini 11 KALI setiap hari setiap lepas sembahyang lima waktu, REZEKInya tidak putus-putus dan mendapat kedudukan yang tinggi.


2. Menurut Imam Al-Qurtubi, barangsiapa membaca selawat ini 41 KALI atau 100 KALI, ALLAH akan menghilangkan segala dukacita dan dimudahkan segala urusan kehidupan.


3. Barangsiapa membaca selawat ini 313 KALI setiap hari, nescaya akan terbuka beberapa rahsia ghaib.


4. Barangsiapa membaca selawat ini 4444 KALI akan tercapai segala cita-cita dan hajat dunia dan akhirat.


Moga dengan perkongsian selawat Tafrijjiyah ini sahabat-sahabat dapat istiqamah untuk bersama-sama beramal. Banyak dari kalangan para ustaz dalam pengajian yang ana hadiri menceritakan kelebihan mengamalkan selawat ini antaranya seorang hamba Allah yang didapati penyakit diabetes yang mencapai tahap untuk dipotong kakinya, Alhamdulillah berkat selawat Tafrijjiyah yang selalu diamalkan kakinya tidak jadi dipotong. Ada satu lagi kisah, pesakit yang menghadapi serangan jantung kembali sihat apabila ditanyakan amalannya selalu mengamalkan selawat Tafrijjiyah. Sungguhpun selawat ini memberi kelebihan namun ia hanya dapat menembusi bagi hati-hati hambanya yang ikhlas. Ikhlas itu wajib. Ikhlas itu sebagai perantara amalannya dengan Allah swt diterima mahu pun tidak. Setelah itu kembali berserah dan tawakal meletakkan pergantungan hanya kepada al-Malik. Yang Maha Berkuasa. BIiznillah..Yakin pada Allah..


Dalam menambahkan amalan selawat Tafrijjiyah disamping selawat ke atas baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam terus menjadi amalan. Selawat yang memberi kesan pada hati hendaklah memperbanyakkan niat. Terdapat tiga peringkat yang memberi kesan kepada hati apabila berselawat iaitu yang pertama niat taqarrub iaitu niat untuk mendamping dan mendekatkan diri dengan Nabi & Allah swt, kedua niat hubb iaitu niat untuk mencintai Nabi dan mencintai orang yang mencintai Allah swt iaitu para alim ulama yang hati mereka sentiasa dekat dengan Allah swt. Yang ketiga niat ghasl al qalbi iaitu niat dengan membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah. Mudah-mudahan selawat yang sampai kepada hati kita akan mendapat syafaat baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam. Sabda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam ‘orang yang paling dekat denganku diakhirat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku’. Syafi’una ya Rasulullah…


Allah berfirman:


Terjemahan: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.


(Surah al-Ahzaab, 33: 56)


Fadhilat berselawat ke atas Nabi kita Muhammad saw:


- Allah akan berselawat sepuluh kali ke atas mereka yang berselawat ke atas Nabi satu kali.


- Dicatat baginya 10 kebaikkan


- Dihapuskan sepuluh keburukkan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat (kemuliaan).


- Dapat bersama Nabi di hari kiamat


- Orang yang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendapat doa/selawat daripada para malaikat.


- Mencukupi keperluan dan mengurangkan segala dukacita


- Ditunaikan segala hajat.


Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)


‘Sesungguhnya orang yang bakhil, kedekut, yang kikir ialah apabila seseorang disebut namaku disisinya maka dia tidak mengucapkan selawat keatasku’


Banyak lagi fadhilat yang tidak terzahir yang kita tidak ketahui maqamnya yang tersembunyi hikmahnya. Sehingga ada sahabat Nabi yang gementar hatinya apabila disebut nama Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassallam oleh sebab rindu, cinta dan kasih pada Nabi kita.


Mencintai Nabi mencintai Allah cintanya akan dibalas.


Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Berselawatlah.


“Allah humma salli ‘alaihi wassallam”


Friday, April 15, 2011

ISTIQAMAH MENDIDIK AKAL DAN NAFSU


Bismillah, dengan nama Allah dimulai bicara yang tersimpan sekian lama di laman blog. =) Alhamdulillah, melihat perkembangan sahabat-sahabat di blog, ramai yang telah mula mengorak langkah menghidupkan kembali perkongsian ilmu dan nasihat memberikan sedikit sebanyak suntikan untuk bersama-sama berkongsi dialam maya ini. Adapun yang telah lama istiqamah teruskan perjuangan masing-masing. Sesungguhnya Islam itu tidak pernah kalah kerana Allah beserta dengan hamba-hambanya yang bersabar dan istiqamah dalam memperjuangkan agamanya.

Syukur, masih diberi ruang dan ilham untuk memberi perkongsian disebalik istiqamah mendidik akal dan nafsu justeru untuk terus beristiqamah di jalanNya, insyaAllah moga menuju matlamat mendapat redha Allah. Dengan istiqamah iman akan terpelihara dari perkara-perkara mungkar, terpelihara dari perkara yang sia-sia selagi perkara makruf terus berjalan kerana kita tidak membuka ruang untuk golongan yang bernama syaitan dan iblis ini memasuki ruang-ruang waktu yang terleka dengan cara halus mendekati hamba yang leka.

Bagaimana untuk mendidik akal dan nafsu? Teringat peristiwa di ofis seorang ‘budak’ lelaki mengamuk pada ana tiba-tiba dengan membaling puncher pada ana tanda menunjukkan protes amarahnya. Sungguhpun tidak mengena. Amarahnya berpunca dari stress kerja dan ana sebagai bahan ujikajinya. Peristiwa terjadi oleh kerana salah faham kerana mendakwa ana melemparkan sehelai kertas atas mejanya dengan rasa kurang hormat padanya.Terkejut.Gerun pun ada. Sempat terlintas dalam hati, “InsyaAllah kalau muslimin soleh tak kan buat macam ni” Kerana yakin dengan tarbiyyah yang diasuh. Tidak mahu panjangkan isu yang mampu untuk menjawab “Astaghfirullah” di dalam hati sabar bagi pihaknya yang sedang marah.

Moral of the story, tiada niat untuk memburukkan seseorang dengan menceritakan kelemahan tetapi ingin mengajak untuk bermuhasabah di mana nilai amarah yang begitu murah. Marah pada kaum hawa yang lemah. Kerana tiada pertimbangan akal dan nafsu untuk menahan amarah. Kerana tidak mendidik akal dan nafsu untuk bersabar dalam diri sebelum bertindak. Sabar sifatnya perlu dididik supaya sabar menahan hawa nafsu ketika ujian datang. Bukan mudah, kerana itulah mendidik sebelum terlambat, mendidik dengan cara mengenali Pencipta, mengenali syariat, mengenali qudwah Rasulullah sallallah ‘alaihi wassallam. Maka akal akan berfikir nafsu akan bertindak mengikut kesedaran iman.

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi saw bersabda: “Bukanlah orang gagah itu yang kuat bertinju.Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah”

- Riwayat al-Bukhari

Daripada Abu Said al-Khudri r.a Nabi saw bersabda: “Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar”

– Riwayat al-Bukhari & Muslim

Dalam mendidik akal dan nafsu, ibadahnya perlu berterusan, menjaga hubungan dengan Allah, dan menjaga hubungan dengan manusia, disamping menjaga hukum Allah. Menjaga hubungan dengan Allah dengan banyakkan ibadah solat sunat, menjaga hubungan dengan manusia dengan sentiasa berbuat baik sesama saudara, menunjukkan qudwatun hasanah ajaran Rasulullah saw yang menjadi contoh sebagai pembawa rahmat sekelian alam.


Nafsu bukan perkara mudah untuk dilawan kerana memerlukan mujahadah yang kuat untuk mengatasinya. Andai tiada ruang untuk diisikan dengan makrifah maka mungkar akan menggantikannya. Sahabat percaya jika ana katakan pertimbangan nafsu itu dipertimbang hanya sekadar beberapa saat untuk bertindak. Sekadar 4 atau 5 saat. Sesuatu yang mustahil bukan. Jika manusia dapat mengawal nafsunya dengan kadar sepantas kilat mengigati hukuman Allah diakhirat yang menyedarkannya maka tidak terjadi kes-kes diluar sana si anak membunuh ibu, sang suami membunuh isteri, banyak lagi kejadian akhir zaman yang menyesakkan dada membacanya.naquzubillah. Betapa pentingnya mendidik akal dan nafsu dalam menanam iman di hati, di saat melawan nafsu menguasai diri. Moga hati kita sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Yang Memelihara hamba-hambanya dari tipu daya dunia.

Ana bukan selayaknya untuk membicarakan soal istiqamah kerana masih dalam tarbiyyah untuk istiqamah. Apa yang dikongsikan lebih kepada nasihat untuk diri sendiri supaya lebih tetap pendirian untuk menuju istiqamah dan sentiasa beringat amalan yang yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. Mohon teguran untuk istiqamah. Mohon doanya..

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khawatir pada mereka, dan mereka tidak pula bersedih hati. Mereka itulah para penghuni syurga, kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan”

(Surah Al-Ahqaf : 13,14)

Yakin dengan Allah untuk istiqamah!

Daripada Sufian Bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Katakan padaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau” Baginda bersabda: “Katakanlah: Aku beriman dengan Allah’ kemudian istiqamahlah (tetap teguh diatas jalan yang betul).”

(Riwayat Muslim dan Ahmad)