Friday, April 15, 2011

ISTIQAMAH MENDIDIK AKAL DAN NAFSU


Bismillah, dengan nama Allah dimulai bicara yang tersimpan sekian lama di laman blog. =) Alhamdulillah, melihat perkembangan sahabat-sahabat di blog, ramai yang telah mula mengorak langkah menghidupkan kembali perkongsian ilmu dan nasihat memberikan sedikit sebanyak suntikan untuk bersama-sama berkongsi dialam maya ini. Adapun yang telah lama istiqamah teruskan perjuangan masing-masing. Sesungguhnya Islam itu tidak pernah kalah kerana Allah beserta dengan hamba-hambanya yang bersabar dan istiqamah dalam memperjuangkan agamanya.

Syukur, masih diberi ruang dan ilham untuk memberi perkongsian disebalik istiqamah mendidik akal dan nafsu justeru untuk terus beristiqamah di jalanNya, insyaAllah moga menuju matlamat mendapat redha Allah. Dengan istiqamah iman akan terpelihara dari perkara-perkara mungkar, terpelihara dari perkara yang sia-sia selagi perkara makruf terus berjalan kerana kita tidak membuka ruang untuk golongan yang bernama syaitan dan iblis ini memasuki ruang-ruang waktu yang terleka dengan cara halus mendekati hamba yang leka.

Bagaimana untuk mendidik akal dan nafsu? Teringat peristiwa di ofis seorang ‘budak’ lelaki mengamuk pada ana tiba-tiba dengan membaling puncher pada ana tanda menunjukkan protes amarahnya. Sungguhpun tidak mengena. Amarahnya berpunca dari stress kerja dan ana sebagai bahan ujikajinya. Peristiwa terjadi oleh kerana salah faham kerana mendakwa ana melemparkan sehelai kertas atas mejanya dengan rasa kurang hormat padanya.Terkejut.Gerun pun ada. Sempat terlintas dalam hati, “InsyaAllah kalau muslimin soleh tak kan buat macam ni” Kerana yakin dengan tarbiyyah yang diasuh. Tidak mahu panjangkan isu yang mampu untuk menjawab “Astaghfirullah” di dalam hati sabar bagi pihaknya yang sedang marah.

Moral of the story, tiada niat untuk memburukkan seseorang dengan menceritakan kelemahan tetapi ingin mengajak untuk bermuhasabah di mana nilai amarah yang begitu murah. Marah pada kaum hawa yang lemah. Kerana tiada pertimbangan akal dan nafsu untuk menahan amarah. Kerana tidak mendidik akal dan nafsu untuk bersabar dalam diri sebelum bertindak. Sabar sifatnya perlu dididik supaya sabar menahan hawa nafsu ketika ujian datang. Bukan mudah, kerana itulah mendidik sebelum terlambat, mendidik dengan cara mengenali Pencipta, mengenali syariat, mengenali qudwah Rasulullah sallallah ‘alaihi wassallam. Maka akal akan berfikir nafsu akan bertindak mengikut kesedaran iman.

Daripada Abu Hurairah r.a Nabi saw bersabda: “Bukanlah orang gagah itu yang kuat bertinju.Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah”

- Riwayat al-Bukhari

Daripada Abu Said al-Khudri r.a Nabi saw bersabda: “Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar”

– Riwayat al-Bukhari & Muslim

Dalam mendidik akal dan nafsu, ibadahnya perlu berterusan, menjaga hubungan dengan Allah, dan menjaga hubungan dengan manusia, disamping menjaga hukum Allah. Menjaga hubungan dengan Allah dengan banyakkan ibadah solat sunat, menjaga hubungan dengan manusia dengan sentiasa berbuat baik sesama saudara, menunjukkan qudwatun hasanah ajaran Rasulullah saw yang menjadi contoh sebagai pembawa rahmat sekelian alam.


Nafsu bukan perkara mudah untuk dilawan kerana memerlukan mujahadah yang kuat untuk mengatasinya. Andai tiada ruang untuk diisikan dengan makrifah maka mungkar akan menggantikannya. Sahabat percaya jika ana katakan pertimbangan nafsu itu dipertimbang hanya sekadar beberapa saat untuk bertindak. Sekadar 4 atau 5 saat. Sesuatu yang mustahil bukan. Jika manusia dapat mengawal nafsunya dengan kadar sepantas kilat mengigati hukuman Allah diakhirat yang menyedarkannya maka tidak terjadi kes-kes diluar sana si anak membunuh ibu, sang suami membunuh isteri, banyak lagi kejadian akhir zaman yang menyesakkan dada membacanya.naquzubillah. Betapa pentingnya mendidik akal dan nafsu dalam menanam iman di hati, di saat melawan nafsu menguasai diri. Moga hati kita sentiasa dijaga dan dipelihara oleh Yang Memelihara hamba-hambanya dari tipu daya dunia.

Ana bukan selayaknya untuk membicarakan soal istiqamah kerana masih dalam tarbiyyah untuk istiqamah. Apa yang dikongsikan lebih kepada nasihat untuk diri sendiri supaya lebih tetap pendirian untuk menuju istiqamah dan sentiasa beringat amalan yang yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit. Mohon teguran untuk istiqamah. Mohon doanya..

“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah, tidak ada rasa khawatir pada mereka, dan mereka tidak pula bersedih hati. Mereka itulah para penghuni syurga, kekal di dalamnya sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan”

(Surah Al-Ahqaf : 13,14)

Yakin dengan Allah untuk istiqamah!

Daripada Sufian Bin Abdullah al-Thaqofi, beliau berkata: Aku berkata: “Wahai Rasulullah! Katakan padaku suatu kata-kata yang tak perlu lagi aku bertanya kepada sesiapa mengenainya selepas engkau” Baginda bersabda: “Katakanlah: Aku beriman dengan Allah’ kemudian istiqamahlah (tetap teguh diatas jalan yang betul).”

(Riwayat Muslim dan Ahmad)