Sunday, April 17, 2011

BERAMAL DENGAN SELAWAT TAFRIJJIYAH

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.


Selawat "Tafrijiyyah" yang ertinya terbuka sehingga menjadi lapang. InsyaAllah jika beramal dengan selawat ini dapat menghilangkan segala dukacita dan kesempitan, menjadikan kehidupan sehariannya berjalan lancar, jauh dari gangguan syaitan dan hasad dengki. Mengamalkan selawat Tafrijiyah dengan membacanya selepas solat fardhu sebanyak yang ia mampu.


"Ya Allah! Limpahkanlah rahmat yang sempurna dan berilah kesejahteraan yang sempurna kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang menjadi sebab terlepasnya sesuatu yang masih mengalami jalan buntu dan terbukanya kesempitan serta didatanginya semua hajat dan diperoleh semua pemberian serta Husnul Khatimah (sempurna akhir hayatnya) dan diturunkan siraman mendung hujan lantaran keagungan baginda. (Dan limpahkanlah rahmat dan salam) kepada keluarga baginda dan sahabat di dalam setiap kerlipan mata dan nafas dengan bilangan semua yang diketahui oleh-Mu, wahai Zat yang menguasai seluruh alam".


Fadhilat yang diberitahu para ulama:


1. Menurut Imam Ad-Dainuri, barangsiapa membaca selawat ini 11 KALI setiap hari setiap lepas sembahyang lima waktu, REZEKInya tidak putus-putus dan mendapat kedudukan yang tinggi.


2. Menurut Imam Al-Qurtubi, barangsiapa membaca selawat ini 41 KALI atau 100 KALI, ALLAH akan menghilangkan segala dukacita dan dimudahkan segala urusan kehidupan.


3. Barangsiapa membaca selawat ini 313 KALI setiap hari, nescaya akan terbuka beberapa rahsia ghaib.


4. Barangsiapa membaca selawat ini 4444 KALI akan tercapai segala cita-cita dan hajat dunia dan akhirat.


Moga dengan perkongsian selawat Tafrijjiyah ini sahabat-sahabat dapat istiqamah untuk bersama-sama beramal. Banyak dari kalangan para ustaz dalam pengajian yang ana hadiri menceritakan kelebihan mengamalkan selawat ini antaranya seorang hamba Allah yang didapati penyakit diabetes yang mencapai tahap untuk dipotong kakinya, Alhamdulillah berkat selawat Tafrijjiyah yang selalu diamalkan kakinya tidak jadi dipotong. Ada satu lagi kisah, pesakit yang menghadapi serangan jantung kembali sihat apabila ditanyakan amalannya selalu mengamalkan selawat Tafrijjiyah. Sungguhpun selawat ini memberi kelebihan namun ia hanya dapat menembusi bagi hati-hati hambanya yang ikhlas. Ikhlas itu wajib. Ikhlas itu sebagai perantara amalannya dengan Allah swt diterima mahu pun tidak. Setelah itu kembali berserah dan tawakal meletakkan pergantungan hanya kepada al-Malik. Yang Maha Berkuasa. BIiznillah..Yakin pada Allah..


Dalam menambahkan amalan selawat Tafrijjiyah disamping selawat ke atas baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam terus menjadi amalan. Selawat yang memberi kesan pada hati hendaklah memperbanyakkan niat. Terdapat tiga peringkat yang memberi kesan kepada hati apabila berselawat iaitu yang pertama niat taqarrub iaitu niat untuk mendamping dan mendekatkan diri dengan Nabi & Allah swt, kedua niat hubb iaitu niat untuk mencintai Nabi dan mencintai orang yang mencintai Allah swt iaitu para alim ulama yang hati mereka sentiasa dekat dengan Allah swt. Yang ketiga niat ghasl al qalbi iaitu niat dengan membersihkan hati dari sifat-sifat mazmumah. Mudah-mudahan selawat yang sampai kepada hati kita akan mendapat syafaat baginda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam. Sabda Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassalam ‘orang yang paling dekat denganku diakhirat kelak ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku’. Syafi’una ya Rasulullah…


Allah berfirman:


Terjemahan: Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.


(Surah al-Ahzaab, 33: 56)


Fadhilat berselawat ke atas Nabi kita Muhammad saw:


- Allah akan berselawat sepuluh kali ke atas mereka yang berselawat ke atas Nabi satu kali.


- Dicatat baginya 10 kebaikkan


- Dihapuskan sepuluh keburukkan (dosa) dan diangkat sepuluh darjat (kemuliaan).


- Dapat bersama Nabi di hari kiamat


- Orang yang berselawat kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mendapat doa/selawat daripada para malaikat.


- Mencukupi keperluan dan mengurangkan segala dukacita


- Ditunaikan segala hajat.


Sabda Rasullah SAW: Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (Hadis Riwayat Muslim.)


‘Sesungguhnya orang yang bakhil, kedekut, yang kikir ialah apabila seseorang disebut namaku disisinya maka dia tidak mengucapkan selawat keatasku’


Banyak lagi fadhilat yang tidak terzahir yang kita tidak ketahui maqamnya yang tersembunyi hikmahnya. Sehingga ada sahabat Nabi yang gementar hatinya apabila disebut nama Nabi Muhammad sallallah ‘alaihi wassallam oleh sebab rindu, cinta dan kasih pada Nabi kita.


Mencintai Nabi mencintai Allah cintanya akan dibalas.


Selawat serta salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.


Berselawatlah.


“Allah humma salli ‘alaihi wassallam”


0 comments: